Wednesday, August 24

5 langkah penjagaan bateri kereta



Penjagaan bateri kereta adalah perkara yang ramai orang terlepas pandang. Hal ini boleh mengundang kerosakan kepada bateri tersebut dan masalah besar kepada pemilik kereta. Antara masalah yang sering berlaku disebabkan kerosakan bateri ialah enjin kereta tidak dapat dihidupkan (bateri kong). Di sini kami senaraikan langkah-langkah bijak untuk penjagaan bateri kereta anda.

#1: Elakkan suhu yang terlalu panas
Suhu yang terlalu panas akan meningkatkan rintangan di dalam bateri dan menyebabkan nyah cas (discharge) sebanyak 20% daripada cas yang ada. Oleh itu sentiasa pastikan anda meletak kereta di tempat yang redup dan berbumbung.

#2: Kurangkan pemasangan aksesori elektrik yang berlebihan
Pemasangan aksesori elektrik seperti sound system dan lampu LED mempengaruhi jumlah beban yang terpaksa ditanggung oleh bateri kereta anda. Semakin banyak beban semakin cepat proses nyah cas dan ini akan mengganggu kitaran cas bateri. Kitaran cas berada pada tahap seimbang jika jumlah kuasa yang dicas oleh enjin kepada bateri melebihi jumlah kuasa yang dikeluarkan oleh bateri untuk menjana aksesori elektrik yang lain.

#3: Sentiasa peka untuk mengisi air bateri
Jika kereta anda menggunakan bateri sel basah jangan lupa untuk menambah air sebaik sahaja paras air bateri berkurangan. Air berfungsi untuk menyediakan ion aktif untuk melancar dan menstabilkan elektrik yang dijana oleh bateri.

#4: Jaga kebersihan bateri
Kebersihan bateri haruslah dijaga terutama bahagian atas bateri. Jangan biarkan debu menebal di atas bateri dan jangan biarkan bateri basah. Debu mengandungi ion aktif dan akan menyebabkan nyah cas apabila bersentuhan dengan terminal bateri manakala air pula akan menjadikan terminal berkarat. Karat menghalang pengaliran elektrik.

#5: Gunakan bateri yang betul
Setiap kereta mempunyai piawaian bateri yang tersendiri. Oleh itu pastikan anda menggunakan bateri yang mempunyai piawaian sesuai atau lebih tinggi daripada yang diperlukan oleh sistem kereta anda.

No comments:

Post a Comment