Sunday, August 12

Tips Mudah Beli Kereta Second Hand di Malaysia Agar Tidak Ditipu


Kereta terpakai (second hand) merupakan alternatif bagi mereka yang berhasrat untuk memiliki kereta dengan bajet yang minimum. Namun, urusan yang perlu dilakukan boleh menjadi rumit jika belum ada pengalaman dan mungkin akan menyebabkan anda ditipu.  Di sini saya kongsikan tips-tips penting berdasarkan pengalaman yang saya alami sendiri.


1.      Lakukan survey

Survey boleh dilakukan sama ada secara online atau anda pergi sendiri ke pusat-pusat penjualan kereta terpakai berdekatan anda. Website seperti Mudah.my atau Carlist boleh digunakan untuk proses ini. Cuba bandingkan harga yang ditetapkan penjual-penjual berdasarkan model/jenama kereta yang anda cari. Sebagai contoh, jika anda ingin mencari kereta Proton Wira, biasanya harga boleh dapat dalam RM4.5k keatas bergantung kepada tahun keluaran, kondisi, dan mileage. Ada eloknya anda meluangkan lebih masa (1-2 bulan) untuk melakukan survey bagi memahami trend harga dan model yang berbaloi untuk dibeli.


2.      Pandu uji

Setelah mengenalpasti kereta yang anda berminat, boleh la mengatur temu janji dengan penjual/pemilik kereta untuk tujuan pandu uji. Sebelum itu, pastikan anda sudah bersedia dengan ilmu-ilmu untuk mengetahui prestasi dan kondisi kereta sama ada baik ataupun tidak. Lebih bagus bawa sekali mekanik yang anda kenal untuk pandu uji dan menilai kondisi kereta tersebut lagi bagus. Nasihat daripada makenik adalah amat penting untuk menilai kondisi enjin mahupun kebarangkalian kereta tersebut pernah mengalami kemalangan. Jangan berkira untuk keluarkan wang sedikit untuk membayar mekanik kerana ini mampu menyelamatkan anda daripada menanggung kerugian ribuan ringgit kelak jika tersalah pilih kereta. Lakukan pandu uji sejauh yang boleh (kira 40km keatas) untuk anda benar-benar dapat merasai pengalaman memandu kereta tersebut. Periksa penggunaan minyak, suhu aircond (pastikan sejuk), suhu enjin (pastikan dibawah paras setengah), transmisi gear (pastikan smooth) sepanjang anda memandu uji. Jika anda tidak berpuas hati dengan kondisi kereta, jangan teragak-agak untuk beredar dan mencari kereta lain kerana masih banyak lagi pilihan yang ada.


3.      Tawar-menawar harga

Setelah anda berpuas hati dengan keputusan pandu uji dan betul-betul berhasrat ingin membeli kereta tersebut, bolehlah melakukan tawar-menawar harga dengan penjual. Anda akan memulakan sebut harga yang paling minimum sebagai contoh kalua harga yang ditawarkan sebanyak RM10,000 anda boleh memulakan sebut harga dengan RM8,500 dan bertambah sebanyak RM200 setiap kali penjual tidak setuju. Jika anda dan penjual tidak mendapat persetujuan antara satu sama lain, sekali lagi jangan teragak-agak untuk beredar.
*Lakukan pembayaran setelah proses tukar nama dilakukan.


4.      Urusan PUSPAKOM

PUSPAKOM merupakan badan yang bertanggungjawab melakukan pemeriksaan kepada kenderaan dari segi keselamatan di jalan raya dan juga emisi kenderaan tersebut. Dengan kata lain, PUSPAKOM dapat mengenalpasti jika kereta tersebut adalah kereta potong atau mempunyai modifikasi yang menyalahi undang-undang. Surat kelulusan daripada PUSPAKOM penting untuk membenarkan proses penukaran nama pemilik kenderaan dilakukan di JPJ. Tanpa kelulusan daripada PUSPAKOM, proses tukar nama tidak dapat dilakukan. Pada masa artikel ini ditulis, PUSPAKOM menawarkan pilihan sama ada membuat temu janji di bengkel mereka atau menjemput mereka datang ke lokasi anda.


5.      Semak Rekod Saman

Sebelum tukar nama dilakukan, semak dahulu rekod saman pada kereta tersebut. Jika terdapat rekod saman lampau, minta pemilik/penjual asal untuk selesaikan saman itu dahulu. Jika anda terlepas langkah ini dan terus menukar nama milik, kemungkinan besar anda yang akan menanggung semua saman tersebut. Rekod saman boleh dilakukan di pejabat JPJ atau di laman www.myeg.com.my.


Setelah anda melakukan semua tips di atas, bolehlah melakukan tukar nama milik kenderaan dan membuat bayaran kepada penjual/pemilik asal. Sekian.

No comments:

Post a Comment