Kereta terpakai (second hand) merupakan
alternatif bagi mereka yang berhasrat untuk memiliki kereta dengan bajet yang
minimum. Namun, urusan yang perlu dilakukan boleh menjadi rumit jika belum ada
pengalaman dan mungkin akan menyebabkan anda ditipu. Di sini saya kongsikan tips-tips penting
berdasarkan pengalaman yang saya alami sendiri.
1. Lakukan survey
Survey
boleh dilakukan sama ada secara online atau anda pergi sendiri ke pusat-pusat
penjualan kereta terpakai berdekatan anda. Website seperti Mudah.my atau
Carlist boleh digunakan untuk proses ini. Cuba bandingkan harga yang ditetapkan
penjual-penjual berdasarkan model/jenama kereta yang anda cari. Sebagai contoh,
jika anda ingin mencari kereta Proton Wira, biasanya harga boleh dapat dalam
RM4.5k keatas bergantung kepada tahun keluaran, kondisi, dan mileage. Ada
eloknya anda meluangkan lebih masa (1-2 bulan) untuk melakukan survey bagi
memahami trend harga dan model yang berbaloi untuk dibeli.
2. Pandu uji
Setelah
mengenalpasti kereta yang anda berminat, boleh la mengatur temu janji dengan
penjual/pemilik kereta untuk tujuan pandu uji. Sebelum itu, pastikan anda sudah
bersedia dengan ilmu-ilmu untuk mengetahui prestasi dan kondisi kereta sama ada
baik ataupun tidak. Lebih bagus bawa sekali mekanik yang anda kenal untuk pandu
uji dan menilai kondisi kereta tersebut lagi bagus. Nasihat daripada makenik
adalah amat penting untuk menilai kondisi enjin mahupun kebarangkalian kereta
tersebut pernah mengalami kemalangan. Jangan berkira untuk keluarkan wang
sedikit untuk membayar mekanik kerana ini mampu menyelamatkan anda daripada
menanggung kerugian ribuan ringgit kelak jika tersalah pilih kereta. Lakukan
pandu uji sejauh yang boleh (kira 40km keatas) untuk anda benar-benar dapat merasai
pengalaman memandu kereta tersebut. Periksa penggunaan minyak, suhu aircond
(pastikan sejuk), suhu enjin (pastikan dibawah paras setengah), transmisi gear
(pastikan smooth) sepanjang anda memandu uji. Jika anda tidak berpuas hati
dengan kondisi kereta, jangan teragak-agak untuk beredar dan mencari kereta
lain kerana masih banyak lagi pilihan yang ada.
3. Tawar-menawar harga
Setelah anda
berpuas hati dengan keputusan pandu uji dan betul-betul berhasrat ingin membeli
kereta tersebut, bolehlah melakukan tawar-menawar harga dengan penjual. Anda
akan memulakan sebut harga yang paling minimum sebagai contoh kalua harga yang
ditawarkan sebanyak RM10,000 anda boleh memulakan sebut harga dengan RM8,500
dan bertambah sebanyak RM200 setiap kali penjual tidak setuju. Jika anda dan
penjual tidak mendapat persetujuan antara satu sama lain, sekali lagi jangan
teragak-agak untuk beredar.
*Lakukan
pembayaran setelah proses tukar nama dilakukan.
4. Urusan PUSPAKOM
PUSPAKOM
merupakan badan yang bertanggungjawab melakukan pemeriksaan kepada kenderaan dari
segi keselamatan di jalan raya dan juga emisi kenderaan tersebut. Dengan kata
lain, PUSPAKOM dapat mengenalpasti jika kereta tersebut adalah kereta potong
atau mempunyai modifikasi yang menyalahi undang-undang. Surat kelulusan
daripada PUSPAKOM penting untuk membenarkan proses penukaran nama pemilik
kenderaan dilakukan di JPJ. Tanpa kelulusan daripada PUSPAKOM, proses tukar
nama tidak dapat dilakukan. Pada masa artikel ini ditulis, PUSPAKOM menawarkan
pilihan sama ada membuat temu janji di bengkel mereka atau menjemput mereka datang
ke lokasi anda.
5. Semak Rekod Saman
Sebelum
tukar nama dilakukan, semak dahulu rekod saman pada kereta tersebut. Jika terdapat
rekod saman lampau, minta pemilik/penjual asal untuk selesaikan saman itu
dahulu. Jika anda terlepas langkah ini dan terus menukar nama milik,
kemungkinan besar anda yang akan menanggung semua saman tersebut. Rekod saman
boleh dilakukan di pejabat JPJ atau di laman www.myeg.com.my.
Setelah anda
melakukan semua tips di atas, bolehlah melakukan tukar nama milik kenderaan dan
membuat bayaran kepada penjual/pemilik asal. Sekian.